Selasa, 31 Julai 2012

ILLUMINATI, ATAU ILUSI HATI?





Bulan Julai 2012, bulan yang mulia, bulan bermulanya Ramadhan al-Mubarak. Ia juga bulan temasya Sukan Olimpik London 2012.  Mungkin disebabkan Olimpik London tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan, dan tuan rumah kali ini ialah orang Britain (“Omputeh”),  jadi ia telah mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan orang Islam, seolah-olah pihak penganjur ingin menyusahkan (atau mencabar) umat Islam yang beribadat puasa. Namun ini bukan salah pihak mana-mana, kerana Sukan Olimpik Musim Panas memang akan diadakan sama ada Julai, Ogos atau September, tak lari daripada itu. Omputeh guna kalendar matahari, orang Islam menggunakan kalendar bulan, kebetulan tahun ini Olimpik jatuh pada bulan puasa. Itu sahaja, tiada konspirasi dan sebagainya.

Namun kontroversi tidak terhenti di situ. Apa yang penulis menyaksikan di alam siber Malaysia ialah kebanjiran thread-thread yang menuduh Olimpik 2012 sebagai “konspirasi ILLUMINATI.” Buka saja Facebook atau blog, macam-macam thread yang mengatakan terdapatnya “penemuan yang menakjubkan” mengenai Olimpik 2012 terpapar depan mata. Dan kebanyakan thread-thread begini dihasilkan oleh warga siber Malaysia. Temanya tak lari daripada terjumpanya simbol-simbol “Illuminati” dalam Sukan Olimpik 2012, dan dipercayai Sukan Olimpik tahun ini telah dimanipulasi oleh “Illuminati” laknatullah ini untuk memerangi umat Islam. Antara penemuan kaki-kaki blog dan FB ialah:

Mascot berunsur Illuminati: Ini bukan penemuan baru, malah orang Britain sendiri pun sudah lama mengutuk dua mascot yang bernama Wenlock dan Mandeville ini. Memang tak comel, malah boleh dikatakan pelik. Tapi apa yang menimbul kontroversi ialah reka bentuknya yang bermata tunggal. Bagi blogger ini, mascot ini merupakan bukti nyata Olimpik 2012 merupakan agenda “Dajjal” – makhluk satu mata yang dikatakan akan bermuncul pada akhir zaman.



Dajjal?

Reka bentuk stadium berunsur Illuminati: Stadium Olimpik dikatakan mengandungi unsur Illuminati – segi tiga di atas bumbung stadium dikatakan melambang piramid – simbol Illuminati yang utama.


Illuminati everywhere?

Majlis pembukaan berunsur Illuminati: Olimpik London dimulakan dengan persembahan pentas hampir satu jam. Walaupun tidak se-gah Olimpik Beijing 2008 yang berkos berbilion-bilion, namun ia telah memaparkan keunikan Bandar London dengan mempersembahkan sejarah ringkas Britain. Namun menurut kaki FB ini, persembahan tersebut bertujuan menghina Islam. Antara buktinya ialah terdapat babak yang menunjukkan bayi besar dan patung ahli sihir gergasi yang dikatakan melambang Nabi Musa dengan penuh penghinaan. Menurutnya, bayi gergasi di sungai itu melambangkan Nabi Musa (yang dijumpai di Sungai Nil) dan ahli sihir gergasi yang satu lagi juga melambangkan Nabi Musa kerana Nabi Musa dikatakan berketinggian 18 meter.
 


Zaman Nabi Musa dah ada wad dan lampu?


Ini Voldermot, bukan Nabi Musa.     
                                             
Tapi menurut ulasan luar negeri, bayi itu hanya melambangkan bayi – mana-mana bayi, untuk menggambarkan sistem hospital kebajikan NHS di Britain, sebahagian daripada sejarah Britain yang merupakan tema persembahan. Ini dapat dilihat dengan wad-wad di sekeliling bayi gergasi tersebut. Kenapa ada jururawat dan doctor berpakaian moden di sebelah “Nabi Musa?” tuan thread tersebut tak sebut kenapa. Dan dari sumber mana nabi Musa dikatakan berketinggian 18 meter?

Boleh dilihat di sini teori Illuminati telah tertanam dalam minda orang Melayu masa kini, terutamanya di kalangan orang-orang muda. Dengan kemudahan Internet, banyak “pengetahuan” telah diserap oleh orang-orang muda semasa dan menerimanya bulat-bulat tanpa mengesahkan maklumat-maklumat yang dibaca. Ramai peminat atau pendukung teori Illuminati mungkin tidak tahu, teori Illuminati dan New World Order sebenarnya merupakan produk orang Amerika. Teori ini dicipta oleh kumpulan-kumpulan konservatif populis sepeti John Birch Society sejak 1950-an lagi. Teori ini dimanipulasikan oleh golongan ini untuk menimbulkan wasangka orang awam terhadap elit politik dan ekonomi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan liberal. Konsevatif populis ini menginginkan masyarakat yang homogeneous, beragama Kristian, dan mengamalkan isolasi dalam hubungan luar. Jadi mereka mendakwah kerajaan liberal dan imigren asing ini ejen Yahudi, nak mengadaikan kepentingan Amerika demi mewujudkan kerajaan dunia – “New World Order.” Buku-buku telah ditulis untuk mengelentong rakyat marhaen Amerika, namun dengan kemudahan Internet, teori ini telah tersebar ke negara kita.


Pat Robertson, pengarang buku New World Order (1991), Kristian ekstremis yang mengelentong orang dengan teori Illuminati.

Illuminati memang pernah wujud. Tetapi ia tiada kena mengena dengan konspirasi Yahudi. Dakwaan website ini bahawa Illuminati ialah “pertubuhan Yahudi terbesar di dunia yang bergerak secara rahsia tanpa dikethaui siapa menganggotainya" adalah tidak berasas dan setakat spekulasi. Sumber pengetahuan ialah sumber Internet yang dipasskan daripada pencipta dongeng di Amerika. Illuminati yang sebenar ialah sebuah organisasi politik di Jerman pada akhir abad ke-18. Masa itu idea-idea revolusi seperti kebebasan, demokrasi dan hak telah merebak ke seluruh Eropah, termasuk Jerman. Illuminati merupakan golongan yang menerajui reformasi politik dan sosial, yang ingin menamatkan pemerintahan mutlak raja dan gereja. Nama Illuminati berasal daripada illuminatus, perkataan Latin yang bermaksud “pencerahan,” sejajar dengan idea revolusi yang tercetus semasa Zaman Pencerahan (The Age of Enlightenment). Illuminati telah ditubuhkan pada 1776 dan bergerak di Bavaria, salah satu negeri Jerman, namun ia telah diharamkan oleh kerajaan Bavaria pada 1785 dan tidak lama lagi telah dibubar akibat buruan kerajaan. Reformasi politik Jerman hanya berlaku selepas Perancis menawan Jerman pada 1806. “Freemasons” juga mempunyai tujuan dan sifat yang hampir sama, cuma Freemasons ditubuhkan lebih awal, meliputi geografi yang lebih luas, dan lebih berpengaruh dan bertahan. Dua organisasi ini kekal menjadi simbol “pemberontak” dan “anasir” bagi golongan bangsawan dan konservatif di Eropah.


Pengasas Illuminati di Bavaria, Adam Weishaupt.

Ketaksuban pada teori Illuminati ini akan menimbulkan paranoia,. Asal jumpa bentuk tiga segi sahaja, mesti tertimbulnya “Illuminati” dalam otak. Ini menyebabkan kita menanam prasangka dan perasaan takut terhadap orang dan perkara yang tidak mempunyai niat buruk dan jahat. Contoh terbaik ialah persitiwa logo Awakening Records. bagi peminat-peminat Maher Zain mesti tahu logo syarikat rekod beliau itu akan ditayangkan sebelum setiap videonya. Logo Awakening ialah “A” yang sangat simple, sebab “A” berbentuk piramid, tiba-tiba Awakening Records telah dikaitkan dengan konspirasi Illuminati. Nasyid-nasyid indah yang dihasilkan oleh Maher Zain dan Sami Yusuf telah dilabelkan oleh peminat teori Illiminati ini sebagai propaganda Zionis, agenda Dajjal, mesin Illuminati dan berbagai-bagai.    


“A” atau Piramid?  

Menerima teori Illuminati secara bulat-bulat menunjukkan kita kekurangan kebolehan berfikir secara rasional. Ketaksuban teori Illuminati juga menjadikan Islam sempit. Tema Islam seolah-olah telah dihadkan kepada soal Dajjal, Yajuj dan Majuj, dan cara mengenalpasti musuh Islam. Soal Islam yang lebih penting dalam Islam telah diabaikan. Adakah iman kita terlalu lemah, setakat segi tiga boleh membawa kepada syirik dan kekufuran? 

Kita menggunakan terlalu banyak masa untuk menghadam simbol-simbol dan melabelkan perkara ini dan perkara itu sebagai “Yahudi,” “Dajjal,” dan sebagainya, kononnya nak membela orang Islam, namun kita tidak menggunakan masa untuk menjadi umat yang berjaya dan berdaya saing. Akhirnya kita menghabiskan masa di alam siber, menyebar cerita dongeng di FB – oh ye, mungkin FB ialah konspirasi Yahudi terbesar, jangan lupa Mark Zuckerberg ialah seorang Yahudi.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan