10 Sebab Doa Tidak Dimakbulkan!
Terdapat satu kisah yang berlaku pada zaman tabiin , seorang ulama sufi yang terkenal, Ibrahim Adham pernah di tanya mengapakah doa-doa mereka langsung tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Beliau menjawab,
“Terdapat 10 perkara kenapa doa-doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah SWT, antaranya ialah:
- Kamu kata kenal Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya (tanggung jawab kamu kepadaNya)
- Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengan ajarannya.
- Kamu kata kamu kasihkan Rasulullah SAW, tetapi kamu tidak beramal dengan sunnahnya.
- Kamu kata syaitan itu musuh seterumu, tetapi kamulah karibnya dan patuh padanya.
- Kamu berdoa untuk masuk ke syurga Allah SWT, tetapi kamu tidak beramal dengan amalan yang membawa kamu ke syurga.
- Kamu berdoa minta di jauhkan dari api neraka, tetapi kamu beramal dengan amalan yang akan mencampakkan kamu ke neraka.
- Kamu kata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
- Kamu sibuk dengan keaiban saudaramu, tetapi kamu lupa dengan keaiban dirimu sendiri.
- Kamu memakan nikmat Allah SWT, tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
- Kamu kuburkan saudaramu yang sudah mati, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Dengan itu maka taatlah akan Allah SWT,beramallah dengan Al-Quran, hidupkanlah amalan sunnah Rasulullah SAW, perangilah syaitan dengan penuh kesungguhan, berjalanlah di atas jalan menuju ke syurga, hindarilah dirimu dari masuk ke jalan ahli neraka.
Bersedialah untuk menghadapi maut, perbaikilah keaiban dirimu. Banyakkanlah meminta ampun (istighfar) dan bersyukur. Ingatlah kamu bahawa setiap diri di ikat oleh maut. Insya Allah, jika engkau demikian, maka doamu sentiasa di terima Allah SWT.”
Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita beramal dengan 10 amalan yang dinyatakan oleh Ahli Sufi Ibrahim Adham kerana kesemua perkara tersebut adalah ajaran Islam yang sepatutnya kita beramal dan melaksanakannya dalam kehidupan kita.
Jika kita istiqamah dengan Islam, melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan mematuhi sunah Rasulullah SAW dan menjaga hubungan kita sesama manusia maka yakinlah insya Allah doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
Kredit gambar : (studio9_ad, kise sade)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan